Monday, April 28, 2008

SEJARAH PENDIDIKAN ISLAM

* Falsafah Islam ialah satu perbincangan yang mendalam untuk:

1. Mengetahui dan mengenal Tuhan sebagai Zat yang berkuasa, mencipta dan mentadbir segala yang ada. Dialah yang menghidup dan mematikan sekalian makhluk.

2. Mengetahui dan mengenal alam sebagai tempat ujian semua manusia dan semua yang ada dalam alam ini ialah untuk kegunaan manusia dan diuruskan oleh manusia mengikut kehendak Penciptanya.

3. Mengenal hamba sebagai hamba dan khalifah Allah serta mempunyai tanggunjawab untuk melaksanakan tugas hamba dan khalifah. Semua tanggunjawab ini akan dipersoalkan pada hari akhirat.


* Falsafah Pendidikan Islam pula ialah satu pemikiran yang mendalam tentang tanggungjawab dan proses mendidik manusia dengan memberi ilmu, berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, supaya mereka mengenal Allah, tahu tanggungjawab (hamba dan khalifah), dan dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan betul. Ini termasuklah kurikulum, kaedah pengajaran, tujuan dan matlamatnya.

Matlamatnya melahirkan insan soleh/kamil (bukan dalam perspektif tasawuf) serta bertamadun yang boleh membawa kebahagian dirinya dan keluarga di dunia dan mendapat kesejahteraan di akhirat.

Inilah di antara perkara asas yang perlu diketahui oleh setiap muslim apabila membincangkan mengenai Falsafah Pendidikan Islam.


* Dalam Islam, pendidikan tidak terhad kepada yang formal sahaja, ia merangkumi semua urusan di mana saja seseorang itu berada, suasana itu semuanya ada hubungan pendidikan, sebab pendidikan dalam Islam bukan latihan fizikal sahaja, bahkan terangkum juga spiritual dan intelek (Al-Ibrashy, 1976).


* Dalam bahasa Arab, ada beberapa istilah yang digunakan bagi maksud pendidikan, iaitu Ta’alim, Tarbiyah dan Ta’dib. Ta’alim agak lebih sempit maksudnya, kerana ia lebih menumpukan kepada pengajaran (Hassan Langgulung, 1987).


Tarbiyah agak lebih luas maksudnya dan inilah yang diterima pakai oleh negara Malaysia dan kebanyakan negara Islam. Akar katanya ialah kalimat Rabba. Mengikut Al-Attas (1980) terjemahannya membawa makna menjaga, mengasuh dan memberi makan. Kalimat ‘Rabba’ ini disebut dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ ayat 24 dengan makna mendidik, ia berupa doa yang diajarkan oleh Allah kepada manusia supaya mendoakan kedua ibu bapa mereka. Firman Allah yang bermaksud :


“Dan katalah (doakanlah untuk ibu bapa) ‘Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat ke atas mereka berdua (ibu bapa) sebagai mana mereka telah mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidiku semasa kecil”.


* Walaupun demikian, Al-Attas tidak bersetuju perkataan pendidikan atau “Education” itu diterjemahkan dengan At-Tarbiyah.Tarbiyah atau Rabba itu sangat umum, termasuk menjaga budak, pokok, binatang dan sebagainya. Sebab itu beliau mencadangkan perkataan Ta’dib sebagai pilihan lain, kerana ia lebih tepat dipakai bagi menerangkan konsep pendidikan, sebab Ta’dib ada hubungan yang jelas dan rapat antara pengetahuan dan adab. Dan perkataan Ta’dib itu sendiri bermaksud mengajar adab atau akhlak (Al-Attas, 1980).


* Pendidikan Islam ialah pendidikan yang berasaskan kepada ajaran Islam yang merangkumi semua aspek. Ini termasuklah kurikulum, proses, sistem, kaedah dan sebagainya. Ajaran Islam itu pula ajaran yang bersifat universal berasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah (An-Najjar, 1989). Ini merupakan asas yang paling dasar. Di samping itu mengambil kira juga kata-kata sahabat Rasulullah, pemikir-pemikir Islam, nilai kebiasaan masyarakat (Al-‘Urf) dan kemaslahatan social (Hasan Langgulung, 1981).


* Dengan demikian Abdul Halim El-Muhammady (1993) membuat difinisi pendidikan Islam sebagai:

Pendidikan Islam ialah proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, Al-Quran dan Sunnah, pengalaman Salaf Al-Salih serta ilmuan muktabar untuk melahirkan insan soleh yang mampu memikul tanggungjawab khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t. ke atas manusia supaya mengimarahkan alam ini untuk kebahagian hidupnya di dunia dan akhirat.


Apabila disebut pendidikan Islam ia menjadi lebih khusus dan bermaksud pendidikan yang berteraskan syariat Islam yang berpandukan Al-Quran dan Al-Hadis, dan perubahan yang dikehendaki pula ialah perubahan rohani, akhlak dan tingkah laku seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Rumusannya, Pendidikan Islam ialah usaha atau proses mengajar, mengasuh, mendidik dan mengembangkan potensi individu dari segi aqli, rohani, jasmani dan emosi supaya menjadi insan yang seimbang yang mampu untuk membangun diri, keluarga dan masyarakat berdasarkan ajaran Islam, di samping itu ia juga berusaha untuk mendapat kebahagian hidup di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat.

Berdasarkan kepada definisi-definisi yang telah dibentangkan di atas, kita fahami bahawa pendidikan Islam itu bukanlah mata pelajaran sekolah, tetapi satu proses pembentukan manusia berdasarkan ajaran Islam. Ia juga bermaksud sistem yang bersumberkan wahyu, iaitu satu sistem yang sempurna untuk mendidik manusia bagi mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Tujuannya ialah melahirkan manusia muslim yang soleh, yang dapat membangun diri, keluarga dan masyarakat kearah yang diredai Allah.

No comments: